
Johor Darul Takzim (JDT) berjaya menjulang trofi Liga Super buat kali pertama selepas menamatkan 22 perlawanan musim ini dengan mengumpul 44 mata, setelah menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri Sarawak.
Sementara itu, Selangor menamatkan kempen Liga Super 2014 di kedudukan kedua apabila mengumpul 41 mata, selepas sekadar terikat 2-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Manakala Pahang kekal berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 37 mata, walaupun terpaksa menerima kekalahan besar 3-0 di tangan Perak.
Pada aksi yang berlangsung di Kuching, JDT dilihat lebih berhak untuk memenangi perlawanan biarpun berdepan tentangan sengit daripada Sarawak.
Di minit ke-7, tonggak import JDT Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa mempamerkan corak permainan satu dua yang menarik, sebelum penjaga gol Sarawak Sani Anuar Kamsani menangkap kemas bola di kaki Diaz.
Di minit ke-16 pula, Nazrin Nawi melakukan percubaan baik yang hanya sedikit tersasar, biarpun dia turut berpeluang untuk menghantar bola ke depan gawang Sarawak.
Ryan Griffiths mempunyai idea yang bijak pada minit ke-24 apabila dia melakukan lambungan jauh pada ketika dia melihat penjaga gol JDT, Al-Hafiz Hamzah naik keatas. Bagaimanapun, sepakan tersebut jauh tersasar melewati palang gol.
S. Chanturu berjaya melarikan bola dan melepasi halangan Daudsu Jamaluddin di minit ke-34, sebelum dia melakukan hantaran ke depan gawang gol, namun tiada pemain Sarawak yang berada dikedudukan terbaik untuk melakukan penyudah.
Bebanan jentera serangan JDT untuk mencari gol begitu dirasai apabila barisan pertahanan Sarawak menunjukkan disiplin yang baik untuk menghalang setiap asakan.
Di babak kedua perlawanan, Ashri Chuchu mempunyai peluang berharga untuk melakukan jaringan selepas menerima hantaran ketika dia tidak dikawal di depan gol di minit ke-53, namun sentuhan pertamannya membuatkan bola hilang dari kawalan sebelum mudah dikeluarkan pemain lawan.
Jurulatih membuat pertukaran drastik di bahagian sayapnya dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha dan memasukan Mahali Jasuli, sementara Nazrin Nawi dikeluarkan untuk digantikan dengan Amri Yahyah.
Di minit ke-66, Diaz muncul menghadiahkan gol buat JDT apabila dia tenang menewaskan Sani dengan sentuhan mudah, selepas tandukan sipi Figueroa jatuh kekakinya.
Di minit ke-76, Mafry Balang berjaya melepaskan diri dari tiga pertahanan lawan dan melakukan rembatan dari luar kotak penalti, bagaimanapun, Al-Hafiz dilihat lebih bersedia untuk menangkap kemas.
Manakala T-Team dan PKNS terpaksa bermain di Liga Perdana pada musim hadapan apabila masing-masing berada di kedudukan kelompok dua terbawah Liga Super 2014.